Sebulan selepas bengkel pertama, kami mendapat surat dari pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk menghadiri bengkel kedua yang bertempat di Akademi Kementerian Pengajian Tinggi, AKEPT di Nilai. Kali ini, hanya 8 orang wakil dari UPSI yang hadir kerana salah seorang daripada kami telah menarik diri.
Pihak penganjur sangat berbesar hati dan bertimbang rasa. Mereka telah menyediakan tempat penginapan yang amat selesa dan dilengkapi dengan wifi serta keperluan asas yang lain. Dengan kemudahan ini, kami dapat menggunakan tenaga kami secara maksimum dalam perbincangan yang akan diadakan sepanjang bengkel ini.
Selepas sahaja kami tiba di dewan, kami diberitahu bahawa nama untuk projek kami adalah iParents yang disingkatkan daripada nama asal inspirational parents. Rangka kasar yang dibentangkan semasa bengkel pertama telah dimurnikan lagi oleh pihak penganjur selepas perbincangan antara mereka. Tujuan bengkel kali ini adalah menentukan tarikh, tempat dan pengisian projek yang telah diluluskan tersebut.
Sepanjang perbincangan kami, wakil daripada agensi-agensi seperti KPM, KPT dan PERSADA turut melibatkan diri. Kami saling bertukar pendapat dan memberi cadangan yang bersesuaian demi kejayaan projek tersebut.
Dalam sesi pembentangan kumpulan kami, Sitinoraini menjadi wakil untuk membentangkan carta gant yang telah disiapkan kepada para wakil KPT. Carta gant tersebut mengandungi jangka tempoh yang diperlukan untuk menjalankan projek yang telah dirancang ini. Selepas pembentangan, kami dinasihati supaya mula mengumpulkan modul-modul yang diperlukan dalam projek ini dan membawa ke bengkel seterusnya yang akan diadakan pada bulan Januari tahun 2012.





No comments:
Post a Comment